Monday, March 1, 2010

"...di mana ada jalan, di sana perlu ada kemahuan..."

Apakah kaitan jalan dengan kemahuan? Ada pepatah mengatakan “ di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Pepatah tersebut bermaksud, sekiranya kita mempunyai semangat untuk memperoleh sesuatu, kita pasti berjaya kerana di sana ada jalan kejayaan. Tetapi melodrama yang sebenarnya berpendapat bahawa “…di mana ada jalan, di sana perlu ada kemahuan…”. Jalan apa? Bukan jalan raya, bukan jalan-jalan cari makan dan bukan juga jalan ke syurga. Tetapi jalan yang dimaksudkan adalah jalan hidup kita sendiri. Dalam era yang semakin mencabar ini, lebih banyak peluang yang terbuka untuk kita penuhinya tetapi kita sebenarnya tiada pilihan yang banyak untuk memilihnya…

Sebelum ini mungkin kita berpegang pada “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan” kerana suatu ketika dahulu kita mampu membuka jalan kita sendiri untuk mencapai cita-cita atau impian kita. Sebagai contoh yang paling dekat, zaman kita semua berada di alam persekolahan. Pada kebiasaannya kita akan berusaha untuk menjadi pelajar cemerlang dengan harapan dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Ia adalah lumrah bagi setiap pelajar yang pandang jauh ke hadapan. Bagi kita, usaha kita akan membuahkan hasil yang baik atau dengan erti kata lain, usaha kita akan membuka jalan untuk kita berjaya. Itu dahulu… Selepas itu???

Apabila kita mula menjejakkan kaki ke universiti atau mana-mana institut pengajian tinggi, pepatah tersebut secara automatiknya akan berubah dan semakin luntur dalam kotak fikiran kita. Betul atau tidak, ia bergantung kepada individu itu sendiri. Dan sekarang???

Apabila kita menjejakkan kaki ke alam pekerjaan yang bukan berdasarkan minat kita, mungkin kita akan kata “…mungkin rezeki aku dekat sini…” (ayat pasrah je.haha…). Itu tandanya tiada lagi jalan yang dibuka berdasarkan kemahuan kita.
Seolah-olah jalan itu adalah takdir hidup kita. Suka atau tidak, kita perlu melaluinya dengan penuh kesabaran dan anggaplah ia sebagai tanggungjawab kita untuk mencapai kesejahteraan hidup. Pada peringkat ini, “…di mana ada jalan, di sana perlu ada kemahuan…” menjadi peneman setia di minda kita supaya kita lebih redha dengan jalan yang ditentukan dan berpendapat bahawa jalan yang ditentukan itu adalah jalan yang terbaik dariNya. Pada peringkat ini juga kita perlu ada satu semangat dan kemahuan agar kita mampu ikhlas dan bahagia dengan jalan yang telah ditetapkan.

Mengimbas kembali topik pada kali ini, ia mengingatkan melodrama yang sebenarnya tentang kenyataan yang telah dikeluarkan oleh seorang rakan sejawat. Beliau ada menyatakan bahawa “…kita perlu ikhlas dengan pekerjaan kita dan anggaplah itu sebagai takdir hidup kita…”. Sekali dengar, seperti cakap-cakap kosong. Tetapi sebenarnya tersirat sebuah makna yang sangat mendalam. Menurut beliau, beliau sendiri tidak meminati bidang pendidikan dan pada masa yang sama, jauh di sudut hati kecil melodrama yang sebenarnya “ erm, aku pun tak suka jadi cikgu. Tak sangka ada juga geng aku kat sekolah ni. Haha… bestnya!”. Ia tidak terhenti setakat itu. Rakan sejawat melodrama yang sebenarnya terus memberi nasihat selaku pendidik yang lebih banyak makan garam, beliau memberi suntikan virus semangat! Akhirnya… barulah tubuh ini lebih kental berdiri dan kaki ini lebih semangat melangkah ikhlas mengharungi jalan hidup. Alhamdulillah…

Apa yang dapat diikat dan disimpulkan di sini, di mana kita berada atau di mana jalan kita, di sanalah kita perlu meletakkan keikhlasan, kesabaran dan suntiklah virus semangat agar kita dapat mengharungi liku-liku hidup dengan tenang dan berjaya.

No comments:

Post a Comment